November 19, 2012

Tubuh yang sakit.

Tatkala diri ini sedang asyik termenung memandang jendela, dinding jiwa diketuk dengan khabar yang kurang enak didengar. Saudara jauh yang lansung tidak dikenali sedang berlari mengelak butir-butir peluru yang datang mengejar. Jam loceng mereka jet pejuang, malam mereka didodoikan dengan bedilan peluru berpandu.Ternyata berbeza suram suasana kita. Lantas aku berdiri, merajinkan diri melangkah sedikit lagi.

Aku pandang kiri, aku pandang kanan. Bukan untuk melintas jalan. Tetapi cuma untuk memintas diantara pemikiran. Semangat membara mengejar syahid oleh pejuang mujahid itu demi tuhan yang tauhid. Buana ini sangat prihatin. Benar dan tidak dapat disangkal lagi. Jagat ini punya sifat ambil berat yang sangat kuat. Namun, sekali lagi tanda tanya itu muncul. Mengapa mereka berhenti takat itu ? Apakah nilai kasihan dan ambil berat itu sudah cukup untuk membayar tangisan dan darah warga disana ? Aku mula kecewa.

“Umat Islam itu ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasa sakit dan tidak boleh tidur malam”

Aku amat bersetuju dengan sabda baginda. Persoalannya, apakah kita adalah badan yang tidak bisa lena disaat sebahagian anggota kita sedang menderita kesakitan. Antara mereka ada yang tidak pernah merasa aman seperti kita. Antara mereka ada yang tidak mampu menjamah makanan setiap hari. Anak kecil kehilangan ayahnya. Ibu pula kehilangan anaknya. Keluarga telah hilang tempat bergantung dan perlindungan. Penderitaan mereka berpanjangan.  Mereka juga manusia. Mereka juga muslim seperti kita ! "Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri". Jadi, dimana usaha kita demi saudara kita ini ?

Perasaan gerun itu timbul dijiwa jika ingin bertempur. Potong sayur sahaja sudah terluka, inikan pula menghunus senjata ? Lalu jari-jari itu dialihkan kepada pihak yang lebih bertanggungjawab katanya. Sekali lagi alasan itu diberikan. Silap! Kita semua bertanggungjawab! Tidak mampu menghunus senjata tidak bermakna tidak mampu berperang. Usah hidup menjadi hamba alasan lagi. Jihad itu punya pelbagai cara. Daripada sekecil-kecil usaha menadah tangan sehinggalah mengangkat senjata. Mari jadi watan yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk dirinya. Mereka perlukan kita walaupun hanya doa yang mampu dititipkan.

Namun, sekali lagi insan ini kembali kecewa. Melihat si-dungu dengan si-tolol berludah hujah akan hal yang lansung tidak punya faedah. Boikot. Si-dungu berusaha memboikot dan si-tolol punya tidak bersependapat kerana baginya usaha itu sia-sia dan sudah terlambat. Aku bukan si-bijak bestari, tetapi apa untungnya perbalahan mereka ini ? Kemana hilangnya solidariti yang dituntut nabi ? Kenapa harus membuang masa sebegini ?  Persoalkan diri sendiri sudah cukup sumbangan kita untuk akhiri penderitaan mereka ? Usah diperlekehkan usaha yang dianggap remeh temeh. Bersyukurlah kerana ada segelintir yang masih berusaha bersungguh-sungguh. Semoga Allah memberi kemenangan buat Mujahiddin disuluruh dunia.


"Allahumma suril mujahidin fi kulli makan, wa kulli zaman"

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga." (hadis riwayat Muslim dan Termizi)