January 28, 2013

Penakut dan pemalu.

Aku terasa seperti ingin melepaskan sesuatu yang terbuku dalam tempurung ini. Aku ingin bersuara. Aku mahu seluruh dunia pasang telinga pekikan aku ini. Terlalu banyak yang aku pendamkan dan masih lagi tersimpan. Sama ada dalam kekusutan atau kekeliruan, atau aku ialah seorang penakut yang pemalu! Aku bukan seorang yang penuh ilmu didada. Aku hanya manusia yang hidup dengan tanda tanya. Aku tidak pasti samada ini adalah lakonan drama dipentas dunia, mereka adalah pelakon dan aku hanya boneka bertali. Tetapi yang pasti, aku sudah tidak tahan dengan skrip yang aku jalani.

Aku bingung mencari jawapan mengapa perlu bertelagah untuk memimpin sedangkan mereka adalah pemandu. Yang penting ditolak tepi, yang remeh diangkat tinggi, yang untuk dikebas lari, yang rugi dilindung sembunyi. Aku risau melihat penumpang yang mula membingit bising tentang arah haluan yang pingin dituju. Aku lihat mereka bertumbuk hanya kerana perkara temeh. Mereka semakin berani untuk bangkit. Mereka semakin liar dan mula mengganas. Mungkin kerana tuan hilangnya tali cemati atau mungkin mereka semakin lapar. Apa yang pasti ini harus dihentikan atau mimpi ngeri menjadi realiti.

Berjuta khayalan, beribu persoalan acap kali muncul. Adakah mereka tidak nampak atau mereka sengaja membutakan mata sambil berdiam tuli? Adakah mereka sudah lali dan memilih untuk berdiam diri? Tidak! Kerana mereka sama seperti aku. Seorang penakut yang pemalu. Takut untuk berdiri, malu dengan diri sendiri.