June 7, 2014

Maaf adik.

Adik, kenapa menangis?
Air mata kau tak laku di sini.
Biarlah air mata kau selebat hujan,
Tiada simpati untukmu di hati kami.

Wahai adik, kenapa kau menangis?
Kau lapar? Kau dahaga?
Sudah 4 hari kau tak makan?
Biarpun kau mati kebuluran,
Kami di sini tiada peduli.

Adikku sayang, mengapa menangis?
Kau takut? Siapa yang kau takutkan?
Yahudi? Zionis?
Kau jangan bergurau adik,
mereka itu sahabat kami.

Adik, kenapa kau sedih?
Ibubapa kau sudah mati?
Anggaplah itu ajal mereka,
Bukankah kau masih hidup lagi adik?
Apakah kau tidak bersyukur?

Kenapa kau menangis adik yg comot?
Kau tiada masa bermain-main dengan kawan?
Kau tiada makanan manis kegemaran kau?
Kau takut peluru Zionis yang memburu setiap langkah kau?
Kau takut dipijak tapak but tentera Zionis?
Bukankah kau dilahirkan cuma untuk merasai semua ini?
Jadi kenapa kau bersedih?

Tak guna kau menangis adikku sayang.
Kau pasti sedih kami membantu cuma dengan doa, bukan harta kami.
Kau memandang kami dengan muka yang dahagakan simpati kami.
Kau memandang kami sebagai saudara kau dengan sejuta harapan bantuan.
Kau memanggil kami dengan suara yang bisu.

Maaf adik, kami tiada mata untuk melihat pandangan kau.
Maaf sayang, kami pekak untuk mendengar suara seruan bantuan kau.

Kenapa kau masih menangis adik?
Kau berasa terseksa hidup di dunia ini?

Itu sudah pasti adik, kerana dunia ini neraka buatmu dan pasti kau tersenyum di sana.
Kau tentu bahagia di negeri yang kekal.